Kuasai Kapsul Wardrobe bagi Memaksimakan Gaya

Bak kata satu petikan fesyen yang saya baca ..

Wanita , sememangnya ada 2 cabaran utama

  1. Saya tidak punyai baju untuk dipakai !
  2. Tiada lagi ruang untuk baju-baju sedia ada!
1426612691-carrie-bradshaw-spring-cleaning

Gambar kredit kepada http://www.elle.com

Pasti ada yang tersenyum . Agak-agaknya , di mana cabaran anda hari ini ?Salah satu penyebab utama , ramai yang mengadu kepada saya “Ya, saya punyai banyak koleksi baju , tapi tidak tahu apa yang boleh dipakai ?!” ialah, seperti kebanyakan wanita di luar sana, ramai yang cenderung untuk membeli ‘pakaian’ selain koleksi pakaian itu sendiri (busana).

Menghadiri majlis makan malam tahunan syarikat, majlis perkahwinan dan parti hari jadi yang ‘bertema’, sesi ‘photoshoot’ korporat, menghadiri temuduga dan bercuti luar negara ? Anda sebenarnya cenderung – membeli ‘pakaian’. Harga mencecah beratus ringgit, tapi hanya digunakan – setahun sekali. Ia adalah satu cara yang agak mahal untuk dipraktikkan , bukan ? Kenapa agaknya ya?

Bila anda membeli ‘pakaian’ , kebiasaannya anda membeli dengan satu tujuan – hanya untuk dipakai ketika majlis itu berlangsung sahaja. Ketika majlis berakhir, mungkin tiada lagi majlis yang serupa akan berlaku pada masa yang terdekat , atau dalam tahun yang sama. Apa yang berlaku di sini ? Satu pembaziran!

Membina ‘busana’ Kapsul Wardrobe sebenarnya lebih mudah dan kurang tekanan stress malah lebih menjimatkan kos daripada membeli sejumlah pakaian dan trend terkini. Jika anda memahami konsep yang ingin saya terangkan di sini, tidak mustahil; anda mampu menyimpan lebih ribuan ringgit setahun (jika dipraktikkan!).

Screen Shot 2015-12-16 at 7.07.49 PM

Kapsul ‘Wardrobe’ atau “Wardrobe Capsule” merupakan satu istilah yang dicipta oleh Susie Faux, pemilik sebuah butik di London yang dipanggil “Wardrobe” pada 1970-an. Menurut Faux, Kapsul ‘Wardrobe’ ini merujuk kepada koleksi beberapa barangan keperluan pakaian (busana penting) dan tidak lari dari fesyen sedia ada, seperti celana, skirt, kot yang kemudiannya boleh disuai-padankan mengikut majlis dan musim. Idea ini dipopularkan oleh pereka fesyen terkenal Amerika Syarikat, Donna Karan pada tahun 1985 di mana beliau telah mengeluarkan kapsul pertama yang memperkenalkan koleksi pakaian kerja yang boleh disuai padankan dan ditukar ganti. Istilah ini telah digunakan secara meluas di media fesyen Britain dan Amerika, malah menjadi subjek beberapa siri televisyen popular. Kapsul ‘wardrobe’ ini merujuk kepada koleksi pakaian yang boleh ditukar ganti dan disuai padan dengan koleksi busana sedia ada bagi memaksimumkan jumlah pakaian yang boleh digayakan. Tujuannya tidak lain adalah untuk mempunyai pakaian yang sesuai untuk sebarang majlis tanpa memiliki koleksi pakaian yang berlebihan. Ini biasanya boleh dicapai dengan membeli apa yang dianggap sebagai “kunci” dalam menyelaraskan warna (pakaian), beli mengikut kesesuaian ‘undertone’ kulit masing-masing, bentuk badan, jenis fabrik berkualiti, corak dan reka bentuk klasik.

Pastikan setiap satu koleksi di atas disesuaikan mengikut jawatan anda hari ini, industri pekerjaan, kod pakaian syarikat (jika ada), dan tentunya MESEJ yang hendak disampaikan melalui keseluruhan imej anda. Di antara kelebihan apabila ‘membina’ busana (koleksi pakaian) ialah, anda akan cenderung untuk membeli pakaian yang boleh disuai-padankan dengan koleksi sedia ada , menghasilkan kepelbagaian gaya dan bukan satu jenis gaya pakaian sahaja. Okay, jom kita mulakan dengan apa yang ada di dalam koleksi anda hari ini. Jangan risau, sebenarnya tak perlu pun membeli yang baru! Tengok apa yang anda miliki, apa yang anda perlukan dan apa yang perlu ditambah lagi (hanya jika bajet mengizinkan). Ingat, anda boleh suai padankan bukan sahaja dengan pakaian , malah perhiasan aksesori juga.

 Apa itu Kapsul ‘Wardrobe’?

Himpunan 5 hingga 8 jenis helai pakaian berlainan (seperti blaus, jaket, skirt, seluar) yang sesuai dipadankan dengan satu sama lain. Pilih jalur dan gaya yang sederhana juga kemasan fabrik yang bersesuaian. Himpunan pakaian klasik sebenarnya lebih mudah dipadankan jika dibandingkan dengan gaya trendy dan juga fad fesyen .

  • Pakaian klasik sering menampilkan gaya versatil , diminati sepanjang zaman walaupun telah diperkenalkan berdekad lamanya seperti skirt A Line dan skirt pensil, baju kemeja putih (berbutang ke bawah) juga blaus putih, blazer, kasut flat dan pump hitam bertumit dan bertutup di hadapan dan sebagainya.

Screen Shot 2015-12-16 at 10.16.00 PM

  • Pakaian trendy pula seperti seluar legging, jeans skinny, sandal gladiator, baju jumpsut atau romper , skaf bercorak ‘leopard’, baju ‘crop top’ dan lain lain. Trend dan fad fesyen sering diperkenalkan oleh pereka fesyen dunia untuk satu jangka masa pendek (sesingkat satu musim – 3 bulan sehingga 20 tahun mengikut pusingan fesyen) dan kembali hadir dengan fesyen terbaru pada tahun berikutnya.

Screen Shot 2015-12-16 at 10.15.08 PM

Baik, jika anda mulakan dengan himpunan gaya klasik, ia akan memberikan lebih banyak pilihan dan menampilkan gaya yang kekal sepanjang zaman . Manakala dengan pakaian trendy pula ia menghadkan jumlah baju yang boleh disuai padan , dan gaya yang mudah ‘out of style’ di dalam beberapa tahun kemudian.

 

Berikut beberapa panduan asas ringkas untuk membina Kapsul ‘Wardrobe’ anda hari ini :

  • Baju berona polos lebih mudah disuai-padankan berbanding baju bercetak

 

  • Sehelai baju bercetak boleh disuai-padankan dengan mana-mana 2 baju berona polos dalam satu masa
  • Pilih warna , rekaan dan fabrik yang sesuai mengikut bentuk badan anda
  • Jika anda memilih untuk membeli set pakaian yang baru, pastikan ia boleh disuai padankan dengan sekurang-kurangnya 3 helai pakaian lain di dalam koleksi sedia ada.

Membina Kapsul ‘Wardrobe’

  • Mulakan dengan baju yang bercorak atau yang bercetak untuk memberi inspirasi kepada skim warna kapsul itu tadi
  • Tambah 5 – 8 helai pakaian klasik (baju , seluar , skirt, jaket, kardigan) yang berpadanan dengan baju yang bercorak atau bercetak di atas
  • Pastikan pilihan anda menampilkan gaya dan fesyen yang sederhana dari segi warna, garis dan rekaan baju.
  • Pastikan juga setiap satu pilihan tadi – tidak mempunyai persamaan dari segi gaya dan warna
  • Pilihlah aksesori yang bersesuaian dengan kapsul (seperti bag tangan, perhiasan aksesori, tali pinggang, jam tangan)

Screen Shot 2015-12-16 at 10.35.22 PM

  • Teruskan dengan menambah lagi beberapa helai pakaian kepada kapsul untuk mempelbagaikan gaya (ulangi proses di atas) tetapi hati-hati agar gaya trendy tidak menggelamkan koleksi kapsul anda tadi. Tidak salah untuk berfesyen , tapi janganlah sampai terperangkap menjadi ‘mangsa fesyen’.

Percaya atau tidak, dengan hanya seminimum 8 helai pakaian di dalam kapsul ‘wardrobe’ anda, ia boleh disuai-padankan sehingga mendapat lebih 20 gaya di dalam satu masa! Itulah kelebihannya jika anda memilih pakaian klasik sebagai personaliti gaya anda. Tiada lagi keluh kesah untuk bergaya anggun, bukan ?