7 Strategi Bijak Kate Middleton – Anda boleh Praktikkan Hari Ini, Sekarang juga!

748f23462a849bd49f72ca7020852c8b

Ketika Putera William, Duke of Cambridge mengumumkan pertunangannya dengan Catherine Elizabeth Middleton (Kate Middleton) pada bulan November, 2010, pemerhati diraja di seluruh dunia akhirnya menarik nafas lega gembira apabila penantian 8 tahun sebagai “Waity Katie” akhirnya telah sampai ke penghujungnya. Tetapi apa yang mereka tidak jangkakan pada masa itu adalah betapa berpengaruhnya Kate Middleton, Duchess of Cambridge juga bakal ratu England ini – dan berapa cepatnya dia akan mengubah industri fesyen Britain ketika itu dengan fenomena yang dikenali sebagai “Kate Effect”, malah telah berjaya menjana lebih £2 bilion kepada industri fesyen Britain hanya pada tahun 2012 dan angka ini dikatakan terus meningkat sehingga hari ini. ‘Kate Effect’ atau ‘Kesan Kate’ adalah satu fenomena yang terkenal yang membawa maksud – apa sahaja Duchess of Cambridge kenakan atau tampilkan di khalayak ramai seperti baju, kasut, topi, jaket, skaf, baju ibu mengandung dan bag tangan – kemudian dilaporkan pula melalui media sosial seperti di blog, Twitter, Facebook – ia mampu dijual dengan sekelip mata, sesingkat 30 minit, beberapa jam mahupun di dalam 2 hari sahaja! Jadi mengapa agaknya ‘Kate Middleton Effect’ ini memberikan impak yang sangat besar? Ya, memang tidak dapat disangkal, Kate mempunyai badan yang langsing, rupa paras yang cantik , tetapi bagaimana pula dengan wanita-wanita sosialit lain yang berprofil tinggi , berpakaian serba mewah tetapi tidak pula ditiru bulat-bulat dan menjadi kegilaan seperti beliau? Apakah yang membuatkan Kate lain dari yang lain?

Menurut Bay Garnett, seorang stailis juga penyumbang editor majalah Vogue berkata, beliau percaya bahawa “daya tarikan Kate pada hakikatnya terletak pada aspirasi gaya , tidak mustahil ia menjadi inspirasi kepada semua wanita, dan mudah pula diikuti. Bukan sesuatu ‘avant-garde’, eklektik , bukan radikal malah tidak memerlukan imaginasi luar biasa- semuanya normal. Anda pun mampu melakukannya!”

Gaya yang serba ringkas, elegan, klasik , bijak berfesyen, dan sering menjadi perhatian ramai dengan gaya pemakaian yang dilihat sentiasa sempurna. Itulah Kate Middleton.

Apakah pula strategi bijak beliau di sebalik fenomena ini?

Penampilan – ya, semua pun tahu bahawa sebagai salah seorang bakal pemegang takhta diraja Britain, Kate dikelilingi oleh para stailis juga konsultan imej diraja yang membantu sebahagian besar imej beliau pada hari ini. Tetapi jangan pula ini dijadikan alasan untuk anda tidak mahu pelajari rahsia beliau dan meniru gaya ikon fesyen ini pula?

Jom, saya kongsikan sedikit sebanyak strategi bijak Duchess of Cambridge ini :-

  • Pelajari dan pilih warna yang paling sesuai buat anda – bermula dengan mengenalpasti ‘tona di bawah warna kulit’ anda hari ini , adakah anda bertona sejuk atau bertona panas (cool or warm undertone)? Bagi yang bertona sejuk, mereka lebih sesuai dengan warna sejuk dan berasaskan warna biru. Manakala mereka yang bertona panas pula lebih cenderung kepada warna-warna panas dan berasaskan warna kuning. Kate Middleton sangat bijak dalam mengenakan tona warna yang sesuai buat ‘undertone’ beliau. Ia merupakan rahsia mereka yang sering bergaya anggun dan menarik. Untuk mengenalpasti undertone anda secara tepat, dapatkan khidmat Perunding Imej dan Warna Profesional terdekat , melalui sesi Analisis Warna Peribadi hari ini.

e5b43fa39610d134ec43c315e46feac9

  • Kenali personaliti gaya anda dan tampilkannya secara konsisten tanpa perlu menjadi hamba fesyen sehingga melanggar etika berpakaian. Ya, tidak dinafikan anda akan mendapat lebih perhatian, tetapi wanita yang bergaya sopan akan lebih dihormati! Ada beberapa gaya personaliti wanita yang perlu anda tahu , iaitu gaya klasik elegan, klasik tradisional, romantik, dramatik (high fashion atau adibusana), ‘sporty’ kasual, juga kreatif . Yang mana satukah personaliti gaya dominan dan gaya kedua anda hari ni ? Ya, saya tidak terkejut sama sekali jika anda mempunyai 3 jenis gaya pada satu masa! Gaya klasik tradisional ketika waktu bekerja di pejabat, gaya sporty kasual ketika berhujung minggu, dan sedikit dramatik ketika menghadiri majlis-majlis keraian sahabat, keluarga juga ketika acara majlis makan malam tahunan syarikat. Pernahkah anda melihat Kate Middleton tampil seperti ala-ala fesyen Lady Gaga (dramatik kreatif) untuk menarik perhatian dunia ? Sudah tentu tidak perlu! Duchess of Cambridge sentiasa bijak memilih gaya menampakkan beliau tampil klasik dan elegan. Ya! Miliki busana yang mampu menyerlahkan gaya personaliti anda yang unik dan tersendiri, padankan dengan sedikit gaya trendy hanya jika ia sesuai dengan ‘mesej imej’ yang ingin anda sampaikan.
  • Kenalpasti bentuk badan juga jenis badan anda – seorang pembeli yang bijak tidak sesekali akan membeli secara gerak hati tetapi sebaliknya dia pasti tahu apa yang terbaik untuk bentuk dan jenis tubuhnya. Bentuk badan anda yang akan menentukan rekaan baju dan jenis fabrik terbaik untuk anda pilih ketika membeli belah. Anda perlu bijak memilih baju yang mampu ‘menyembunyikan’ kekurangan pada badan anda. Adakah kekurangan itu ‘terserlah’ di bahagian perut, di pinggul, di bahagian dada, di lengan anda ? Adakah badan anda berbentuk ‘hourglass’, ‘pir’, ‘epal’, segitiga terbalik atau segiempat tepat seperti pembaris ? Dengan ukuran badan 30-23-33, Kate memiliki bentuk badan berbentuk ‘ruler’ dan tidak hairanlah sebahagian besar daripada wardrobe beliau banyak bermain dengan ‘tali pinggang’ atau penggunaan ‘aksesori’ pada seperti butang  pada baju tersebut. Lihat contoh di bawah..
  • Penggunaan aksesori yang berkesan – Apakah aksesori kegemaran Kate ? Topi ‘fascinator’, clutch kecil , juga ‘pump shoes’ yang bertumit setinggi 3 inci dan bertutup di hadapan juga belakang kasut. Kadangkala kelihatan ‘brooch’ kecil diselitkan di dada jaket sebagai tanda penghormatan apabila menghadiri sesuatu majlis rasmi atau negara yang beliau lawati. Bijak bukan ?! Pilih aksesori yang bersesuaian dengan gaya juga majlis yang anda hadiri . Pastikan pilihan aksesori itu senada dengan pilihan warna baju agak ia nampak lebih harmoni dengan keseluruhan imej itu tadi . Saya namakan ia strategi K.I.S.S – Keep it simple, but smart!
c6c3416a5139784c0dfab7e872fcad33

Antara aksesori kegemaran Kate : Topi Fascinator 

  • Hiasi diri anda dengan mengenakan solekan yang sesuai dan menitikberatkan soal kebersihan diri – Apabila berbicara mengenai imej yang positif, seringkali penampilan diri menjadi tumpuan dan topik utama bagi seseorang wanita. Terpulang kepada anda, ada yang suka mengenakan solekan yang tebal , ada juga yang senang dengan solekan yang ringkas dan nampak ‘natural’. Pilihan Kate Middleton? Ringkas dan natural. Rahsia beliau pula ? Dikatakan antara produk kecantikan pilihan Kate ketika hari perkahwinan beliau adalah palet pembayang mata (eyeshadow) jenama Urban Decay – Naked , juga maskara Hypnose oleh Lancome bagi menghasilkan teknik smokey eye.

 

  • Postur badan – Percaya atau tidak , postur yang baik boleh membuatkan anda kelihatan lebih kurus, tinggi dan nampak muda. Ia juga membuatkan anda kelihatan lebih yakin kerana postur yang baik adalah sinonim dengan sikap yang tenang, sentiasa bersedia dalam apa jua situasi , juga kelihatan anggun – lebih-lebih lagi ia membawa kepada kesihatan yang baik dan penampilan yang hebat! Lihat sahaja Kate Middleton, walaupun bertumit tinggi, beliau tetap berdiri , duduk, berjalan dengan mengamalkan postur yang baik. Sesuatu yang patut kita semua amalkan!
  • Tingkatkan kemahiran etiket dan skil sosial anda – pelajarilah nilai yang tersembunyi dan potensi yang tidak ternilai ini – dan bagaimana ia mampu mengubah kehidupan anda – baik karier, secara peribadi mahupun perniagaan anda. Dari berjabat salam, cara memperkenalkan diri, menyampaikan kad perniagaan, bahasa badan, gerak isyarat, ekspresi muka, dan kesan (impak) dari kata-kata yang dilontarkan, anda akan pelajari betapa pentingnya menampilkan imej diri yang baik dan mengamalkan etiket perniagaan yang betul. Program seperti ini akan membantu anda menjadi individu yang lebih profesional sekaligus membantu meningkatkan penjenamaan imej peribadi dan imej syarikat anda ke peringkat seterusnya!