7 Langkah Mudah Kenali Personaliti Gaya Anda

Selamat Tahun Baru 2016 kepada pembaca setia Bicara Imej dan salam mesra dari saya, Perunding Imej anda! Bertemu semula di ruangan ini dan saya sebenarnya begitu teruja untuk kembali setelah artikel saya minggu yang lepas berkenaan “7 Strategi Bijak Kate Middleton” mendapat maklum balas yang sangat positif dan rata-rata yang mengatakan mereka juga terinspirasi mempraktikkan strategi mudah tersebut. Wow, tahniah saya ucapkan! Anda telah menemui matlamat tahun baru dan tentunya ia satu misi yang mengujakan!

Screen Shot 2016-01-07 at 6.32.45 PM

Beberapa minggu yang lalu, saya menerima emel daripada seorang pembaca yang bertanyakan bagaimana saya menemui ‘personaliti gaya’ diri. Seperti kebanyakkan wanita di luar sana, saya juga pernah melalui fasa di mana saya tidak tahu apa sebenarnya personaliti gaya fesyen saya yang sebenar. Sebelum mendalami ilmu di dalam bidang perundingan imej ini, saya menghabiskan hampir 17 tahun di syarikat-syarikat multinasional (MNC) juga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di KLCC dan seingat saya, ketika itu saya terlalu beriya mengikuti trend semasa, sopan tetapi agak dramatik bagi sebuah industri yang konservatif. Apakah yang saya pelajari? Kesalahan berfesyen di tempat kerja yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kenaikan jawatan kerana tidak memberikan gambaran seorang eksekutif yang serius di dalam pekerjaannya. Sehinggalah saya menemui ‘rahsia’ WOW faktor kepada gaya personaliti sebagaimana Kate Middleton memainkan ‘peranan’ tersebut , saya berkata pada diri, ‘Aha! Inilah jawapannya!’.

Adakah ini bermakna saya tidak perlu lagi membeli-belah setelah mendapati gaya tetap saya? Sudah tentu tidak. Gaya peribadi saya sentiasa berubah-ubah berdasarkan umur, pekerjaan atau jawatan hari ini juga kod pakaian syarikat (jika ada), majlis yang saya hadiri , trend semasa, dan yang paling utama adalah ‘mesej’ yang ingin saya sampaikan melalui penampilan hari ini. Dengan menentukan personaliti gaya anda, ia memudahkan lagi pengalaman membeli belah , satu aktiviti yang ‘menyeronokkan’ dan tidak hairan ia membantu mengurangkan stres, menzahirkan kecantikan dalaman lalu meningkatkan keyakinan yang tinggi di kalangan wanita.

Semua sedia maklum, bahawa gaya adalah sangat peribadi: ia merupakan gambaran langsung berkenaan personaliti atau mood anda. Ada yang mempunyai gaya signature mereka tersendiri , mengenakan gaya, warna dan trend yang sama berulang kali sepanjang tahun. Bagi yang lain pula, ia memberikan mereka lebih keyakinan dan kesedaran tertentu apabila mengenakan gaya yang berlainan mengikut keperluan.

Jika anda rasa tidak mempunyai gaya tersendiri hari ini, atau tidak memerlukannya, sebenarnya, anda perlu! Ya, tiba masanya untuk kita ketahui. Berikut merupakan 7 langkah-langkah untuk mengenalpasti personaliti gaya anda. Sudah bersedia?

Pilih 10 pakaian kegemaran andakoleksi yang menggabungkan padanan baju, blaus , celana, skirt , tudung (jika anda seorang Muslimah), juga aksesori seperti kasut. Letakkan koleksi ini di atas katil , cuba analisa – lihat kepada skim warna yang ada (adakah hitam kesemuanya? Warna-warna yang terang?) saiz baju (kesemuanya bersaiz besar , atau terlalu ketat?) kesemua skirt juga blaus berbentuk A line dan maxi? Bagaimana pula persamaan dari segi rekaan (hitam putih berjalur, skirt dan seluar houndstooth, atau kebanyakkannya berbunga dan berkain lace? )

Screen Shot 2016-01-07 at 6.30.01 PM

Pilihan saya ? Tentulah klasik, romantik dan sedikit , dramatik!

Kenapa 10 ini yang dipilih ? Seterusnya, kita tentukan kenapa anda begitu menggemari koleksi ini. Beri perhatian kepada pakaian yang memberikan anda rasa penuh keyakinan dan selesa bila mengenakannya. Apa yang membuatkan anda berasa begitu hebat ? Adakah warnanya? Keselesaan jahitan yang terletak cantik pada badan? Rekaannya yang mampu menyembunyikan atau menyerlahkan bahagian-bahagian tertentu badan anda? Sila catit nota pemerhatian ini kerana ia akan memberi panduan tentang warna dan siluet baju yang sesuai setiap kali anda membeli belah.

Screen Shot 2016-01-06 at 11.27.28 PM

Catit pemerhatian, di atas setiap koleksi pakaian yang dipilih. Adakah dari segi warna, rekaan, jahitannya yang menjadi keutamaan atau pilihan hanya kerana jenama ?

Siapakah ikon fesyen kegemaran anda? Sekiranya anda membelek majalah fesyen hari ini, agak-agaknya siapakah ikon fesyen yang anda minati dari segi gaya dan personaliti mereka? Atau sekiranya anda melalui sebuah kiosk majalah , ternampak pula dari jauh ikon fesyen anda sebagai ‘muka depan’ lalu terus menyambar senakhah untuk dibawa pulang. Secara tidak langsung, ikon fesyen ini sebenarnya memberi inspirasi gaya kepada anda dalam diam. Anda setuju? Ikon kegemaran saya, tentulah Kate Middleton dan Angelina Jolie !

Screen Shot 2016-01-07 at 6.40.11 PM

Namakan personaliti gaya tersebut – sekiranya anda sudah mempunyai gaya yang tetap , ataupun masih tercari-cari , berikan nama gaya tersebut. Adakah ianya personaliti gaya klasik, romantik, bohemian, dramatik, kreatif , sporty kasual, edgy, hipster? Yang mana satukah (mungkin dua atau tiga) sesuai dengan anda hari ini , ataupun personaliti yang membuatkkan anda mudah tertarik untuk menggayakannya. Kebanyakkan wanita hari ini mempunyai gabungan beberapa personaliti dan itulah yang membuatkan mereka unik! Kembali kepada 10 pakaian kegemaran anda tadi dan kenalpasti , apakah personaliti gaya anda sebenarnya?

Screen Shot 2016-01-07 at 6.47.25 PMPamerkan sedikit ‘kelebihan’ yang anda miliki – Dalam menentukan apa yang perlu di dalam koleksi hari ini, pilihla gaya dan busana yang sesuai mengikut bentuk badan anda. Apakah rekaan dan gaya yang membuatkan anda sering mendapat perhatian dan pujian ? Contohnya, anda mempunyai bentuk badan hourglass, dan diserikan pula dengan peplum dress yang memberikan fokus kepada pinggang anda yang ramping. Sebaliknya jika anda merasakan lebih banyak kekurangan pada fizikal anda berbanding kelebihan, maka gunakan teknik ilusi optik bagi menyembunyikan bahagian-bahagian badan yang membuatkan anda kurang berkeyakinan. Percayalah, ada caranya!

Kenalpasti personaliti gaya yang sesuai dengan gaya hidup (lifestyle) anda – jangan membazirkan wang semata-mata kerana mengikut trend semasa atau pengaruh rakan-rakan dan selebriti. Isu ini pernah saya tekankan di dalam salah satu artikel yang lepas juga sewaktu ditemuramah stesen tv Al Hijrah , program Assalamualaikum di mana saya membicarakan tentang kepentingan membuat sedikit analisis sebelum berbelanja yang dipanggil ‘price per wear’. Contohnya, jika anda membelanjakan gaji bulan ini untuk membeli sepasang baju yang berharga RM350 , tudung berharga RM199, kasut pula RM170 dan memakainya cuma 2 kali setahun, hanya sewaktu menghadiri majlis-majlis tertentu, maka ‘price per wear’ baju itu adalah RM175, tudung RM99.50 dan kasut pula RM85. Tetapi lain pula jika anda memakai baju yang berharga RM350 itu tadi sebanyak 2 kali sebulan, atau sekurang-kurangnya 10 kali setahun, ia bermakna anda cuma membayar RM35 bagi setiap kali mengenakannya. Logik dan bijak ? Ya, itulah yang terbaik. Pesanan saya – cuba fikirkan tentang personaliti gaya anda yang berkadaran dengan gaya hidup anda sebelum membeli ataupun adakah ianya satu keperluan atau sekadar kehendak kerana mengikuti trend. Ini kerana wang yang dibelanjakan itu boleh digunakan untuk membeli sesuatu barangan yang lebih berguna daripada pembelian mengikut gerak hati!

Screen Shot 2016-01-07 at 5.57.00 PM

Tempat membeli belah yang ideal – mungkin ramai yang tidak perasan bahawa, di mana anda biasa menghabiskan waktu bershopping – ia sebenarnya menunjukkan personaliti gaya anda yang sebenarnya. Sudah tentu , gedung seperti Isetan , Parkson dan Metrojaya yang biasa anda kunjungi merupakan tempat yang paling mudah untuk mencari apa-apa sahaja bagi memenuhi keperluan busana anda . Menariknya, jika anda sering berkunjung dan membeli busana dari label pereka fesyen yang sama, ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa itulah personaliti gaya anda yang dominan. Bagi mereka yang sering menghabiskan waktu di pejabat , berjawatan eksekutif dan memerlukan gaya formal dan klasik, Zara, G2000, Marks and Spencer, Valentino Rudy, The Executive, Cultivation , Dorothy Perkins merupakan antara jenama yang menawarkan koleksi tersebut. Manakala gaya trendy dan agak romantik boleh didapati dengan banyaknya di Forever 21, Eclipse, Nichii, gaya sporty kasual pula di Elle, Esprit, Cotton On, Timberland, gaya ala bohemian di British India, gaya dramatik seperti dijual di Desigual , manakala Topshop dan H&M pula lebih kepada gaya edgy dan ‘street style’ bagi memenuhi citarasa Gen Y masakini. Wow, bagaimana ? Anda sudah boleh kenalpasti personaliti gaya fesyen anda sekarang ? 7 tips sebagai panduan untuk membina personaliti yang positif dan lebih berkeyakinan. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Selamat mencuba!