Kesan Warna Dalam Penampilan: 4 Strategi Yang Perlu Anda Tahu dan Praktikkan!

Bak kata pereka terkenal dan ikon fesyen lagenda dunia, Coco Chanel “The best color in the whole world is the one that looks good on you” juga bermaksud , “Warna yang terbaik untuk anda adalah warna yang membuatkan anda tampil hebat”. Setuju?

Dilahirkan di Saumur, France pada Ogos 1883, Coco Chanel atau nama asal beliau Gabrielle Bonheur Chanel sangat popular dengan sut trademarknya iaitu jaket tidak berkolar dipadankan dengan skirt yang mengikut potongan badan dan istilah LBD Little Black Dress yang menghasilkan rekaan fesyen yang tidak lapuk ditelan zaman. Rekaan beliau yang popular sekitar tahun 1925 itu dikatakan telah mencetuskan ‘revolusi’ baru, diinspirasi oleh rekaan pakaian lelaki yang mementingkan keselesaan berbanding fesyen yang popular ketika itu iaitu korset. Rekaan sut ini telah membuatkan ramai wanita mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada penggunaan korset serta koleksi pakaian lain yang terlalu ‘membatasi’ pergerakan si pemakai. Malah Little Black Dress (LBD) pula diinspirasi daripada penggunaan gaun (formal) berwarna hitam yang sering dikaitkan dengan upacara pengebumian dan ketika berkabung. Coco mencetuskan satu lagi revolusi dengan memperkenalkan LBD ini, kerana ia menunjukkan bahawa wanita juga masih boleh kelihatan chic dengan memakainya sebagai ‘evening wear’ .

Screen Shot 2016-01-27 at 2.54.28 PM

Secara peribadi saya sukakan dengan revolusi tersebut kerana secara tidak langsungnya Coco telah berjaya menukar ‘mindset’ wanita-wanita pada zaman tersebut untuk menerima penggunaan warna hitam secara lebih meluas di dalam industri fesyen. Saya melihat ini sebagai salah satu strategi hebat yang memberi impak kepada setiap individu di dalam 4 perkara , iaitu kesan kepada Autoriti , Personaliti, Visual juga secara Psikologi. Pemilihan dan penggunaan warna yang betul akan membentuk imej peribadi yang menarik, positif dan profesional. Bagaimana, anda setuju?

Warna.

Setiap hari kita bermain dan melihat warna di sekeliling kita. Setiap hari juga kita terpaksa membuat pilihan untuk memilih warna-warna yang berkaitan dengan penampilan. Ya, bagaimana agaknya jika kita bangun tidur keesokkan harinya dan hanya melihat kanvas hitam dan putih mewarnai dunia hari ini. Pasti bosan, bukan? Tetapi sayangnya, ramai yang tidak begitu mengambil berat akan kesan penggunaan warna di dalam kehidupan mereka. Sedikit kesilapan akan memberikan kesan negatif kepada si pemakainya. Apakah yang saya cuba maksudkan di sini?

Autoriti (merujuk kepada Pihak yang Berkuasa atau pangkat)

Saya ingin meminta pembaca berimaginasi sedikit.

Bayangkan anda berada di balai ketibaan sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa ketika ini, dan kebetulan anda membawa beg dengan muatan yang banyak dan pelbagai barangan malah melebihi had. Mungkin anda seorang peniaga tegar yang rajin membuat ‘daily business trip’ ke negara jiran, mungkin juga anda baru pulang dari sebuah percutian yang lama. Sejurus mengambil 5 buah bag di karusel bagasi, lantas menyorong troli anda keluar dari balai ketibaan. Tiba-tiba, terdetik pula di fikiran, “Alahai, janganlah pula ‘pegawai’ berbaju biru navy itu menahanku!”

Senario kedua – Majlis pernikahan adik anda bakal berlangsung lagi 2 jam , dan anda masih berada di pejabat ketika itu. Sebaik keluar dari perkarangan pejabat, anda memecut laju menuju ke lebuhraya sambil menelefon ibu untuk memberitahu anda sedikit terlewat. Tiba-tiba , tanpa disedari, anda dapati ada seorang penunggang motosikal berseragam putih menahan anda dan meminta anda berhenti ke tepi bahu jalan. Perasaan anda ketika itu? Tentulah risau, rasa bersalah dan semestinya, anda terpaksa akur permintaan pegawai tadi kerana anda ‘menghormati’ mereka. Bersalah atau tidak, kita tetap punya rasa hormat dan memberi kerjasama terhadap mereka yang bertugas sebagai pegawai penguatkuasa. Apakah persamaan kedua-dua senario tersebut ? Anda mengenali mereka hanya dengan sekilas pandang – baju seragam yang berwarna biru navy dan seragam putih.

Ya, begitulah jua jika anda , seorang individu yang berjawatan tinggi di dalam sesebuah organisasi atau mungkin seorang pemilik perniagaan, yang ingin dilihat mempunyai kuasa atau ‘pangkat’, ingin dihormati, lebih diyakini, pemilihan warna-warna ‘authority pieces’ ini perlu diutamakan dan dipilih dengan teliti. Bagaimanakah warna-warna authority pieces ini dipilih mengikut peringkat kewibawaannya ? Hitam, biru navy, kelabu, perang gelap juga kuning air (beige) dan merah. Perlu diingat bahawa setiap satu pilihan warna di atas membawa maksud dan kesan psikologi yang berlainan mengikut tempat dan keadaan.

Screen Shot 2016-01-27 at 3.17.31 PM

Nota : Pemakaian authority pieces ini menggambarkan anda sebagai individu yang ‘berpangkat’, profesional, serius (hanya bermaksudkan ‘bisnes’ dan bukan sekadar main-main), mempunyai kredibiliti dan berkeyakinan. Gunakan strategi pilihan warna mengikut peringkat yang diberi di atas bagi menggambarkan ‘mesej’ anda. Penting – authority pieces yang bercorak , dengan serta merta menggambarkan anda kurang ‘kewibawaan’ , tidak begitu serius , sesuai digayakan untuk organisasi yang berindustrikan ‘kreatif’ dan ‘hiburan’. 

Kesan terhadap Personaliti Gaya

Sebagai Perunding Imej yang bertauliah, kami dilatih untuk sentiasa membuat pemerhatian terhadap orang ramai secara rawak dan ‘personaliti gaya’ ini tidak terkecuali. Melalui gaya, pilihan warna pakaian dan aksesori di badan seperti perhiasan aksesori, beg tangan , kasut dan jam, sudah cukup untuk membantu menganalisa personaliti gaya seseorang. Mereka yang sering tampil dengan warna-warna neutral dan berpakaian formal, lebih cenderung kepada personaliti gaya klasik. Gaya feminin, penuh lemah lembut dan sopan dengan hiasan renda (lace), corak berbunga, berbentuk hati juga bereben bow dengan pilihan warna merah hati dan pastel lembut, lebih kepada gaya si Romantik. Bagaimana pula dengan si dia yang suka menarik perhatian orang ramai dengan koleksi busana yang berwarna terang , rekaan fesyen terkini, dan gemar akan perhiasan aksesori yang berskala besar juga bersolek merupakan satu kemestian? Mereka ini, dikenali sebagai si Dramatik dan si Kreatif. Saranan saya, pilihan warna di dalam penampilan sehari-hari amat penting agar ia tidak konflik dengan personaliti gaya anda yang sebenar. Kesan negatif dari situasi ini membuatkan anda kelihatan seperti seorang ‘mangsa fesyen’ di mata orang ramai atau dikatakan ‘terlalu mencuba’.

Screen Shot 2016-01-07 at 6.47.25 PM

Kesan terhadap visual seseorang

Hitam untuk nampak kurus! Majoriti wanita yang pernah saya kenali juga para peserta program latihan yang lepas – mereka sangat mahir dengan ‘muslihat’ gaya ini. Malah , ada juga yang tidak punyai warna lain selain hitam, hitam dan hitam di dalam koleksi pakaiannya . Bagi anda yang tidak punyai sebarang ‘petunjuk’, saya ada berita baik untuk semua! Anda masih boleh ‘bermain’ dan suai-padankan koleksi baju yang ada untuk kelihatan lebih kurus, tinggi , langsing secara visual hanya dengan menggunakan padanan warna dan yang betul . Bagaimana pula ya?

1. Kenalpasti bentuk badan anda – adakah ianya berbentuk pir, epal (oval) , segitiga terbalik (inverted triangle) , jam pasir (hourglass) ataupun kurus ibarat pembaris (ruler) ?

Screen Shot 2016-01-27 at 3.44.05 PM

2.  Tip utama yang perlu anda tahu – penggunaan warna gelap boleh menguruskan manakala warna cerah pula boleh ‘membesarkan’ dan ‘melebarkan’ saiz badan seseorang.

 

3.  Setelah mengenalpasti bentuk badan dan bahagian badan yang bermasalah anda – contohnya badan berbentuk pir mempunyai pinggul yang lebih ketara lebarnya dari saiz bahu , dan badan berbentuk segi tiga terbalik pula , sebaliknya. Kelihatan bahu yang lebih lebar dari saiz pinggulnya. Tipnya ? Gunakan warna-warna gelap itu tadi di bahagian badan anda yang ‘bermasalah’ dan warna cerah pula di bahagian badan yang tidak mempunyai masalah. Jika anda suka bereksperimen dengan pelbagai warna dan gaya, gunakan ‘trick’ ini untuk membantu memberikan gambaran badan yang sedikit ‘langsing’.

Screen Shot 2016-01-27 at 4.11.26 PM

8

Sebaliknya, jika anda memilih untuk tampil dengan warna gelap secara keseluruhan – seperti sepasang ‘pantsuit’ berwarna hitam , maka ia memberi gambaran visual badan anda yang lebih kurus dan tinggi pula. Menarik, bukan?

Kesan secara psikologi

Tahukah anda bahawa penggunaan warna di dalam penampilan memberikan kesan psikologi kepada si pemakai juga mereka di sekelilingnya? Pernahkah terlintas di fikiran anda , mengapa agaknya mereka yang bekerja di hospital menggunakan pakaian seragam yang berwarna cerah dan lembut seperti putih untuk para Doktor , dan biru muda buat para jururawat. Tetapi berlainan pula buat pegawai penguatkuasa yang menggunakan warna-warna yang gelap seperti biru navy untuk para kastam, polis, imigresen , majlis perbandaran. Ini kerana warna yang berbeza memberi kesan kepada orang ramai dengan cara yang berbeza, membangkitkan emosi seperti kepercayaan, keyakinan, hormat kepada seseorang dan sebagainya.

Inilah strategi yang digunakan oleh rangkaian restoran makanan segera seperti McDonalds, di mana para pekerjanya memakai pakaian seragam berwarna merah. Warna ini secara psikologinya memberi tenaga , merangsang emosi dan mendorong kita untuk mengambil tindakan. Di dalam konteks perniagaan makanan, warna merah dikatakan boleh merangsang selera makan dan meningkatkan keinginan untuk makan. Tetapi sebaliknya pula di dalam urusan perniagaan dan ketika rundingan, penggunaan warna merah yang melampau boleh menyebabkan kita mudah menjadi berang, gelisah dan cepat marah.

2

Bagaimana ? Tidak pernah terfikir bukan? Kesan penggunaan warna di dalam kehidupan seharian memberikan impak yang besar kepada kita , baik secara positif atau negatif. Saya sarankan anda kenalpasti dahulu, ‘mesej’ yang ingin disampaikan melalui ‘warna’ pilihan anda. Pastikan ia selari dengan objektif , jawatan dan industri perniagaan anda juga matlamat imej peribadi anda hari ini. Semoga strategi di atas membantu anda untuk menampilkan imej yang lebih positif dan profesional di mata dunia.