Adakah anda si Mangsa Fesyen?

Sangat bergaya, tetapi pakaian yang dipilih membuatkan pemakainya kelihatan kurang bijak. Siapakah yang saya maksudkan ini ? ‘Fashion victim’ ataupun si Mangsa Fesyen.

Mangsa Fesyen merupakan istilah yang didakwa telah dicipta oleh seorang pereka fesyen dari negara Republik Dominican, Oscar de la Renta, dan ia digunakan untuk mengenalpasti seseorang yang tidak dapat mengidentifikasikan istilah gaya yang sebenar. De la Renta menjadi terkenal di peringkat antarabangsa pada tahun 1960 sebagai salah seorang couturiers atau pereka fesyen buat isteri kepada Presiden ke-35 Amerika Syarikat , John F. Kennedy juga Wanita Pertama ketika itu, Jacqueline Kennedy.Mangsa fesyen sering menjadi mangsa kerana mereka terdedah kepada fad fesyen (fesyen sementara, popular secara mendadak dan hanya kekal untuk beberapa bulan sahaja) juga bersikap materialisme (sikap mementingkan kebendaan) . Menurut kata Versace pula, “Apabila seseorang wanita sering mengubah gayanya dari satu musim ke satu musim , dia lebih cenderung untuk menjadi mangsa fesyen”.

Ya, apa sahaja yang berkaitan dengan pakaian , aksesori dan dandanan diri – warna-warna yang garang dan terang, fabrik bersinar, aksesori yang menghasilkan bunyi (seperti gelang kaki), solekan muka yang tebal , juga label jenama besar pada pakaian – anda sebut sahaja, mangsa fesyen akan menggunakannya untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirinya.

Jadi, apakah formula si mangsa fesyen ini ?

Berskala Besar + Garang dan Terang + Fabrik Bersinar + Trendy + Barangan berjenama

Formula Mangsa Fesyen

Kenali ciri-ciri yang membuatkan mereka dikatakan Mangsa Fesyen

  1. Besar – dari segi gaya rambut , rekaan corak dan perhiasan pada tudung/pakaian , barangan perhiasan aksesori , segala-galanya berskala besar supaya mudah bagi orang ramai melihat dari jauh.
  2. Garang dan terang – pilihan warna, bentuk corak juga kombinasi warna yang mengjengkelkan mata. Jika tak boleh pakai besar, pilih yang garang. Jika boleh ? Pakai keduanya sekali.
  3. Bersinar – perhiasan manik, sequin , warna-warna metalik, fabrik satin . Apa sahaja yang bersinar dan menyerlah, cantik katanya untuk dipakai.
  4. Trendy – dengan memakai trend terbaru di pasaran, atau apa sahaja yang dibawa oleh selebriti juga blogger atau pereka fesyen terkenal. Memilih gaya trendy untuk dilihat ‘fashionable’ dan ‘up to date’ malah tak kurang juga yang suka padankan semua gaya sekali serentak pada satu masa.
  5. Logo juga label jenama berskala besar di skaf, pakaian, bag tangan, aksesori dari kepala hingga ke kaki . Apa yang penting adalah untuk menarik perhatian orang ramai , dengan persepsi bahawa anda mempunyai status kewangan yang kukuh , berpengaruh dan mempunyai ‘kuasa’ beli yang besar.

Mangsa Fesyen di mana-mana

Bak kata Ikon Fesyen Iris Apfel

Fashion Icon Iris Apfel

Istilah Fesyen oleh Iris Apfel yang hanya sesuai buat mereka si Fashion Victim!

Namun, percaya atau tidak? Ada bezanya di antara , pandangan mereka terhadap anda kerana anda tampil elegan dan penuh sopan , berbanding pandangan mereka terhadap anda kerana anda bahan untuk ditertawakan. Jangan sesekali silap untuk memilih jawapan yang ke-dua itu tadi. Jika anda seseorang yang popular di media sosial , dengan puluhan atau ratusan ribu peminat, kesilapan tersebut mungkin hanya akan menjadi viral dan buah mulut ‘followers’.

Sebaliknya, lupakan formula si mangsa fesyen itu tadi , dan jom ikuti saya dengan formula gaya elegan dan sopan ini pula :-

  1. Mesej berpakaian

Mempunyai satu jenama peribadi bermaksud anda tahu siapa anda dan apa yang anda perjuangkan . Jenama anda mestilah ‘authentic’ kerana berpura-pura menjadi orang lain boleh menyakitkan dan meletihkan , malah boleh menjatuhkan maruah diri (tanpa anda sedari!). Apabila dikaitkan dengan gaya untuk meningkat jenama imej peribadi anda, matlamat utama haruslah memakai pakaian yang mencerminkan gaya peribadi anda yang sebenar. Apabila gaya anda konsisten dengan jenama anda dan mesej yang ingin disampaikan, secara tidak langsung , ia membantu untuk meningkatkan keyakinan dan harga diri. Salah seorang selebriti yang saya boleh kaitkan di sini adalah, seperti penyanyi versatil, Adele. Saya harap anda juga berpendapat, Adele tidak pernah malu dengan imej badannya yang besar , tidak perlu beriya-iya mengikuti fesyen semasa atau tampil gila-gila untuk menarik perhatian ramai. Beliau tetap tampil klasik dan bersahaja dengan padanan ‘dres’ hitam di mana-mana acara karpet merah juga konsert solonya. Setuju? Bagaimana pula anda boleh kaitkan dengan imej yang dibawa oleh penyanyi Katy Perry ? Besar, terang, garang, bersinar , trendy – nah, boleh bezakan antara mereka yang bergaya elegan dan si mangsa fesyen?

Screen Shot 2016-02-04 at 10.46.27 PM

  1. Kesesuaian mengikut tema dan tempat majlis , jawatan / pekerjaan atau industri

Tidak dapat saya nafikan , ramai yang sering terlepas pandang ‘mesej berpakaian’ itu tadi kerana terlalu terikut dengan trend masakini. Pakaian ke pejabat dan sesi ‘business networking’ (rasmi), pakaian kasual dan santai, pakaian ke majlis minum petang dan makan malam (evening wear) – setiap satu jenis pakaian ini hanya sesuai digayakan mengikut masa , tempat dan tema diberi. Strategi anda hanyalah tampil dengan berpakaian – mengikut mesej apa yang ingin disampaikan melalui penampilan anda hari itu, sesuai dengan jawatan dan industri (latarbelakang profesional anda) dan ia haruslah disesuaikan dengan masa (pagi atau petang) , tempat (majlis rasmi atau tidak rasmi) dan tema majlis tersebut (jika ada) .

  1. Bentuk dan potongan badan

Berfikiran sedikit realistik dan jujur ​​dengan diri sendiri tentang pakaian yang sesuai dengan badan anda dan sebaliknya . Tidak semua rekaan pereka sesuai dengan semua jenis potongan badan, dan tidak semua gaya sesuai untuk semua bentuk badan. Lakukan sedikit kajian dan cari apakah jenama dan gaya rekaan yang sesuai dan terbaik untuk anda. Cari gaya yang menonjolkan aset terbaik anda dan menyembunyikan bahagian-bahagian badan lain yang anda tidak mahu tonjolkan. Luangkan sedikit masa dengan membuat window shopping atau dengan melihat majalah fesyen wanita di dalam dan luar negara , juga artikel mingguan yang dilanggan secara ‘online’. Buat pemerhatian tentang fesyen dan gaya yang tidak sesuai untuk si pemakainya. Jika anda tidak mahu orang lain berfikiran negatif tentang cara anda berpakaian, ini merupakan langkah asas dan utama yang anda perlu lakukan. Secara alternatifnya, anda boleh juga dapatkan khidmat Perunding Imej jika anda benar-benar serius untuk membentuk imej yang lebih positif, elegan, sopan dan memerlukan konsultasi secara profesional dari mereka yang arif dalam bidang ini.

Contohnya seperti mereka yang memiliki bentuk badan ‘pear’ – ini lebih cenderung untuk mempunyai pinggul yang lebar dari bahunya. Oleh itu, strategi yang perlu dilakukan adalah dengan memastikan seluar, skirt tidak mempunyai pelbagai corak dan hiasan lain seperti poket atau corak-corak (pattern) , kecuali jejalur menegak (halus) . Sebolehnya pilih lah skirt dan seluar di dalam warna yang lebih gelap dari baju (blaus atau tops) di atas.

Screen Shot 2016-02-05 at 2.38.47 PM

  1. Nilai estetika dan berfesyen mengikut proporsi tubuh badan (body proportion) anda

Kita semua mudah tertarik kepada perkara-perkara yang indah. Apa sahaja yang cantik di mata – orang yang cantik , karya seni yang indah, pemandangan yang menakjubkan . Jika anda bijak menampilkan keseimbangan visual dalam pemakaian, lebih ramai orang akan ‘mengingati’ dan memuji anda. Sebaliknya pula, ia akan menjadi bahan jenaka , dan mempersendakan ‘kesalahan’ anda itu tadi.

Contohnya…apa yang telah berlaku pada Anugerah AJL 30 yang lalu..

Bagaimana pengacara Fara Fauzana telah dikritik hebat kerana salinan pakaian keduanya pada malam itu dikatakan ibarat seperti ayam belanda..
Saya pasti sebagai individu, kenyataan itu pasti mengguris hati. Tetapi sebenarnya perkara ini mampu dielakkan sekiranya kita tahu aspek WOW Faktor utama (kenali diri anda) sebelum mengambil keputusan untuk menggayakan sesuatu rekaan fesyen.
Apapun Fara tetap maintain dengan mengatakan perkara itu terjadi kerana bentuk badannya ‘yang sado’ dan tidak sesekali menyalahkan rekaan perekanya. Syabas Fara!

AIEs4JT

Apakah yang saya cuba sampaikan di sini ?

Seni berfesyen mengikut proporsi tubuh badan (body proportion) anda.

Barangan berskala besar sangat sesuai dengan mereka yang bertubuh besar, dan barangan berskala kecil pula lebih sinonim dengan mereka yang bertubuh kecil. Padankan saiz rambut , aksesori (beg tangan, jam tangan , kasut) , rekaan baju, skala corak juga perhiasan aksesori kepada saiz badan seseorang itu. Mangsa fesyen menjadi mangsa kerana mereka sering ‘terpedaya’ dengan kecantikan sesuatu tanpa menilai terlebih dahulu kesesuaian rekaan tersebut dengan dirinya sendiri.

Screen Shot 2016-02-05 at 3.17.05 PM

Sudah nampak perbezaan di sini?

Mangsa fesyen sering tampil ‘over-the-top’ dan suka kepada sesuatu yang besar, garang, terang, bersinar, fad fesyen dan sering bertukar-tukar gaya, secara tidak langsung mereka ‘mensabotaj’ diri sendiri tanpa disedari.

Wanita yang elegan dan penuh gaya dan sopan pula, lebih gemar kepada kualiti, ketelitian rekaan untuk disesuaikan dengan proporsi tubuh, mengambil berat akan aspek keharmonian di dalam gaya, tidak perlu menunjuk-nunjuk dan lebih klasik di dalam penggayaannya.

Pilih dan berusahalah untuk menjadi wanita yang penuh gaya. Mangsa fesyen mungkin mendapat banyak perhatian daripada orang sekelilingnya, tetapi wanita yang bergaya elegan , modern dan sopan pula lebih dihormati , diyakini, lebih dipercayai dan diterima oleh semua.