Merah dan Kesan Psikologinya Terhadap Anda

Bak kata pereka fesyen Amerika Syarikat , Bill Blass “When in doubt, wear red” atau “Sekiranya ragu-ragu, kenakan warna merah”.

bbed0a2b9c97a7d955e09c6474c133cf

Petikan fesyen ini seolah-olah ditujukan kepada mereka yang ingin menonjol, tetapi menarik perhatian ramai hanyalah salah satu daripada aspek psikologi warna hangat ini. Kajian menunjukkan dengan memakai warna merah menghasilkan pelbagai kesan yang menarik kepada si pemakainya, jadi simpan beberapa fakta yang mengujakan ini sebagai senjata imej anda dan aplikasikan tip yang bakal saya kongsikan ini apabila perlu!

Warna Lambang Kekuatan, Kemegahan dan Simbol Bahaya

Adakah warna benar-benar mampu memberi kesan kepada ‘mood’ seseorang?

Menurut kata para penyelidik, ya! Warna mampu menjejaskan mood, tingkah laku juga tahap stress seseorang. Diibaratkan warna darah dan api, warna merah biasa dikaitkan dengan simbol tenaga, bahaya, kekuatan dan kuasa. Ia meningkatkan kadar pernafasan dan tekanan darah , dan kerana itu, muka kita cepat menjadi merah apabila dalam keadaan malu atau marah.

kesan warna dalam kehidupan

Kerana warna merah ini begitu mudah dilihat dan menarik perhatian, maka ia digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai simbol untuk ‘berhenti’. Ia juga melambangkan keberanian, maka tidak hairanlah sebanyak 148 buah negara atau 77% peratus daripada negara seluruh dunia menggunakan warna ini di dalam bendera kebangsaan mereka.

Warna lambang Keghairahan

Merah juga adakalanya boleh menakutkan kerana ia dikaitkan dengan ‘pencerobohan’. Menurut satu lagi kajian oleh ahli psikologi , Andrew J. Elliot dari University of Rochester , New York, Amerika Syarikat pada tahun 2014, ia menunjukkan bahawa golongan lelaki yang melihat wanita berpakaian merah sebagai lebih menarik juga mengghairahkan. Dengan sebab itu , golongan lelaki akan lebih cenderung memikat wanita yang berbaju merah kerana mereka tahu , cubaan mereka tidak mudah ditolak. Selain warna merah, golongan lelaki juga suka melihat wanita yang berpakaian merah jambu atau pink (hasil dari campuran merah dan putih) kerana ia melambangkan wanita yang berpersonaliti lembut, sopan dan feminin.

467172343

Gambar kredit : GettyImages

Hipotesis ini secara tidak langsung membuatkan seorang wanita yang melihat wanita lain memakai warna merah ini sebagai saingan kerana mereka dilihat sebagai mempunyai niat untuk menggoda lelaki lain.

Pun begitu, orang ramai telahpun memperoleh manfaat hasil dari kesan ini sejak berkurun lamanya sebelum ia disokong oleh kajian sains – sebagai contoh , golongan wanita dikatakan telahpun mengenakan gincu berwarna merah, lebih 10,000 tahun dahulu, semenjak amalan itu bermula di zaman Mesopotamia purba lagi. Kini wanita lebih cenderung untuk mendapatkan secalit warna merah lembayung dari tiub berbanding formula menghancurkan serangga yang digemari oleh Cleopatra satu ketika dahulu , namun faktor ‘va-va-voom’ kuno ini masih kekal hingga kini.

Merah di dalam urusan antarabangsa

Warna merah mempunyai maksud tersendiri di negara-negara luar dan perlu dipilih dengan berhati-hati bagi mengelakkan menyinggung perasaan negara tuan rumah secara tidak sengaja. Bagi negara China, warna ini dikaitkan dengan nasib yang baik (bertuah), kebahagiaan, sambutan perayaan, umur yang panjang, tetapi sebaliknya pula bagi kebanyakkan masyarakat Korea. Secara tradisinya, merah adalah warna yang digunakan untuk menulis nama-nama orang yang telah mati di Korea. Untuk menulis nama-nama individu yang masih hidup dengan dakwat merah , ianya dianggap sangat malang. Di Afrika, banyak negara mengaitkan warna merah dengan kematian. Di Nigeria, merah melambangkan kekayaan, kecergasan atau pencerobohan. Di kawasan-kawasan lain di Afrika, merah boleh bermaksud nasib yang baik. Di Afrika Selatan, merah pula adalah warna untuk berkabung. Hormati budaya, serta piawaian (standard) korporat dan profesional apabila memilih warna pakaian bagi memastikan anda tampil dengan mesej yang betul.

Lambang Tuah

Merah juga dianggap tuah dalam sukan. Satu kajian yang dijalankan pada Sukan Olimpik 2004 menunjukkan bahawa dengan tahap kemahiran yang sama, orang atau pasukan yang memakai warna merah memenangi lebih kerap. Satu lagi kajian menunjukkan bahawa mereka yang memakai baju merah, jaket, atau pakaian sukan menjaringkan 10% lebih daripada pasukan yang memakai warna lain. Ini adalah kerana mereka yang memakai warna merah ini berasa lebih yakin, berani dan kuat manakala mereka yang bersaing dengan mereka secara psikologinya pula berasa lebih takut dengan lawannya. image

Merah dalam Urusan Perniagaan

Seperti yang anda sudah sedia maklum, merah melambangkan

  • Berani, yakin , lambang kekuatan , tenaga, semangat, tegas, kuasa, tindakan, keinginan (nafsu) , tujuan untuk menarik perhatian.
  • Secara negatifnya pula , ia bermaksud kemarahan, bersifat ingin menguasai, tidak mudah bertolak ansur, keras kepala, ganas, kejam.
  • Dikelilingi oleh terlalu banyak warna merah juga boleh membuatkan sesuatu ruang (bilik), si pemakai atau orang di sekelilingnya berasa panas, gelisah akhirnya cepat marah.

image

Lambang Kekuatan Sebagai Pemimpin

Ia bukanlah satu kebetulan bahawa ramai ahli politik memakai tali leher berwarna merah dengan baju kemeja cerah dan bersut gelap. Selain itu, pemilihan tona merah ini juga penting. Merah gelap, seperti burgundy, boleh membantu membina kepercayaan, manakala hubungan antara merah lembut dan merah jambu pula lebih kepada ‘statement’ mengenai gaya peribadi anda dan dikaitkan dengan kreativiti. Sedekad yang lalu, tali leher merah jambu kadang-kadang boleh memberi isyarat “solidariti dengan wanita,” menurut Mark Woodman juga seorang penganalisis trend yang mempelajari warna di Laurel, Maryland, di Amerika Syarikat. Apabila anda bertanggungjawab untuk mengetuai satu projek atau ingin menyampaikan cita-cita, pertimbangkan warna merah yang berkilat untuk melambangkan anda berani. Tali leher merah berfabrik jenis matte atau yang dicetak boleh digunakan sebagai cara yang paling lembut untuk menyampaikan mesej bahawa anda mempunyai ‘kuasa’.

Situasi Yang Anda Perlu Elak

1. Menghadiri temuduga – elakkan memakai baju merah, tali leher merah, jaket merah , tudung merah ketika sesi temuduga. Warna merah yang mudah menarik perhatian ini , membuatkan penemuduga akan mudah terganggu konsentrasinya. Dari fokus kepada resume calon , mata mereka akan mudah tertumpu kepada warna merah itu tadi. Warna yang tidak sesuai digayakan ketika majlis yang rasmi dan serius terutamanya pada hari penting seperti temuduga.

elak warna merah ketika temuduga

Kredit : gettyImages

2. Berurusan dengan orang penting untuk kenaikan pangkat, mendapatkan kontrak , memenangi hati bakal pelabur – Situasi yang sama , di mana anda berada di situ, atau bermesyuarat untuk ‘memenangi’ hati seseorang – mungkin ketua anda, bakal pelabur , atau orang atasan yang anda hormati. Dengan memakai warna yang hangat, ia secara tidak langsung menjadi satu gangguan kepada mereka (pembuat keputusan ini) untuk memberikan respon yang positif. Kerana anda di situ berpakaian serba merah , dalam erti kata, andalah yang ‘berkuasa’ dan ingin menguasai sesi perundingan tersebut, bukan mereka. Jadi , hati-hati dengan pemilihan warna mengikut situasi atau majlis yang anda hadiri. Ini penting bagi mengelakkan mesej pemakaian anda disalahertikan .