Profesionalisme menuntut komitmen diri yang tinggi

professional-services-selling-banner-1349x430.jpg

Bila disebut perkataan individu yang ‘profesional’ , secara tidak langsung kita akan terus terbayangkan seorang Doktor, Jurutera, Peguam, Akauntan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dan yang lainnya di kotak fikiran. Saya pasti, hari ini semua pun tahu bahawa , untuk mencapai kejayaan amatlah penting untuk seseorang itu menjadi atau bersikap profesional. Tetapi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan profesional ini? Kenapa ia sangat penting untuk anda dan bagaimana ia boleh memberikan impak kepada kejayaan seseorang individu terutamanya di dalam proses penjenamaan imej peribadi.

Minggu ini , ingin saya kupaskan satu isu yang jarang sekali kita bahaskan , dan satu perkara yang pasti, ia masih berkaitan dengan imej anda , siapa anda hari ini dan bagaimana anda harus menguruskan dan menampilkan imej anda secara konsisten dan profesional agar tidak dianggap atau dinilai negatif oleh sesetengah pihak.

Mengikut pandangan orang ramai, menjadi seorang yang profesional bermaksud mereka yang sering berpakaian kemas dan segak ke tempat kerja, lengkap dengan sut dan tali leher, mungkin juga berjawatan tinggi dengan gaji yang lumayan. Ada pula yang beranggapan, mereka yang profesional ini pula harus memiliki latarbelakang pendidikan yang baik dan dengan kemahiran tertentu bagi mendapatkan pengiktirafan tertinggi di dalam bidang atau industri yang diceburi , malah sijil mereka juga digantung cantik menghiasi dinding-dinding pejabat dan di rumah.

Kamus Merriam-Webster mentakrifkan profesionalisme ini sebagai “kelakuan, matlamat atau sifat yang mencirikan atau menandakan profesion seseorang itu. Atau dipanggil, ‘seorang yang profesional’. Ia mentakrifkan ‘profesional’ ini sebagai ‘satu panggilan yang memerlukan seseorang individu itu untuk memiliki atau mendalami pengetahuan khusus di dalam sesuatu bidang malah telah melalui latihan akademik yang intensif dan bertahun lamanya’.

Pun begitu, menjadi seorang yang profesional di dalam apa jua bidang yang anda ceburi hari ini, menuntut komitmen diri yang tinggi, lebih dari sekadar memakai sepasang sut dan pakaian rasmi mengikut kod pakaian ke pejabat, memiliki Ijazah Kedoktoran ataupun di peringkat Diploma. Profesionalisme juga mempunyai kaitan dengan tingkah laku dan cara anda berkomunikasi di dalam urusan harian , baik secara peribadi, urusan perniagaan, mahupun pekerjaan.

Bagaimana jika saya cadangkan anda ‘google’ laman web syarikat atau organisasi anda hari ini. Apakah yang akan anda temui? Ya, informasi berkaitan Visi, Misi, Objektif dan Nilai-Nilai Bersama Syarikat tersebut selain latarbelakang penubuhan syarikat dan matlumat kumpulan pengurusan terkini . Cuba anda senaraikan nilai-nilai bersama yang telah ditetapkan oleh syarikat itu tadi. Percayalah, tidak mustahil anda akan temui senarai nilai-nilai bersama itu tadi yang mengandungi perkataan ‘profesional’ di situ. Nilai-nilai bersama ini merupakan nilai-nilai organisasi yang kebiasaannya ditetapkan oleh pihak pengurusan , kemudian dikongsi dan diterima pakai oleh kakitangan syarikat terutamanya ketika berurusan dan membuat keputusan bagi pihak syarikat . Nilai-nilai ini juga dikenali sebagai Nilai Teras syarikat.

Lihat contoh senarai visi, misi dan nilai bersama yang dipaparkan di laman web Petronas ini.

Screen Shot 2016-05-18 at 5.25.47 PM

Screen Shot 2016-05-18 at 5.25.57 PM

Nah, bagaimana ? Anda boleh lihat kaitannya di sini? Kebanyakkan organisasi hari ini menuntut setiap kakitangannya bersikap profesional di dalam urusan seharian. Seseorang yang dianggap profesional memiliki beberapa karekteristik utama dan ciri-ciri penting yang mereka boleh aplikasikan di dalam apa jua jenis perniagaan dan pekerjaan hari ini.

Penampilan

Komunikasi bukan lisan ini selain penggunaan bahasa tubuh, yang secara tidak langsungnya memberi impak positif dan negatif kepada kejayaan anda – tidak seharusnya dipandang remeh. Selain memilih pakaian yang kemas dan mencerminkan kredibiliti profesion anda berbanding keselesaan diri , pastikan anda memenuhi kod pakaian syarikat yang telah ditetapkan dan memberi perhatian khas kepada penampilan apabila bertemu prospek atau pelanggan . Kenalpasti mesej yang ingin disampaikan berdasarkan objektif perundingan, jawatan atau pangkat individu yang ingin ditemui dan lokasi mesyuarat (rasmi atau tidak rasmi) dengan pemilihan warna dan kod etika pakaian konsisten dengan mesej itu tadi.

a5d9abde610a69cc435b4150dbe80f18

Sikap atau Perilaku

Sikap penuh berkeyakinan tetapi jangan sesekali angkuh. Bersopan santun dengan tutur kata yang baik setiap kali anda berinteraksi dengan pelanggan, pegawai atasan atau rakan sekerja. Anda perlu lebih bertenang, walaupun di dalam keadaan tegang atau stres. Keupayaan untuk mengawal diri daripada bersikap negatif ini bukan sahaja menunjukkan anda seorang yang profesional tetapi secara tidak langsung ia sebenarnya baik untuk kesihatan mental dan fizikal anda.

Boleh Diharap                                                                                                         

Sebagai seorang yang profesional , anda akan diharap untuk mencari jalan penyelesaian sendiri bagi menyiapkan sesuatu tugas. Memberi maklum balas dan menjawab pertanyaan pegawai, rakan atau pelanggan dengan segera , tepat pada masanya juga penting , dan ini menunjukkan sikap anda yang boleh diharap.

create-boundaries-042015

Cekap

Seorang yang Profesional juga sentiasa berusaha untuk menjadi pakar di dalam bidang atau industri mereka, seterusnya membezakan jenama mereka ; lain dari yang lain. Ini boleh dicapai melalui pendidikan yang berterusan dengan menghadiri seminar , mengikuti kursus pensijilan atau akreditasi di dalam bidang yang diceburi, demi mencapai impian menjawat jawatan profesional yang diidamkan.                                                                                                                     

Beretika       

Golongan profesional perlu mematuhi kod etika yang ketat. Walaupun syarikat atau industri anda tidak menggariskan kod etika tersebut , anda haruslah menunjukkan sikap yang profesional dan positif sepanjang masa.

Komunikasi secara lisan

Gaya bahasa, pilihan perkataan , dan intonasi – tulislah dengan jelas dan profesional. Penggunaan ‘textspeak’ , bahasa SMS yang singkat dan adakalanya salah dari segi penggunaan bahasa, ejaan , tanda bacaan bukan sahaja menunjukkan anda tidak profesional tetapi bayangkan apa akan terjadi kepada generasi yang akan datang sekiranya kita tidak bertindak sebagai ‘role model’ kepada kakitangan syarikat dan rakan-rakan perniagaan yang lain .

                 gallery-1443806309-gty-texting-151002.jpg                                                                      .

Fleksibel dan Bijak Menguruskan Masa           

Ya, mungkin waktu kerja anda berakhir jam 5petang , tetapi tidak salah sekiranya anda meluangkan sedikit masa lagi bagi menyiapkan kerja yang diberikan. Ia bukan bermaksud, anda tidak perihatin kepada isu yang lebih penting seperti komitmen kepada keluarga, tetapi anda juga tidak seharusnya membiarkan kerja yang penting tertangguh hanya kerana sikap anda yang gemar pulang tepat pada masanya.

Begitu juga komitmen anda dengan masa. Belajar untuk menguruskan masa dengan bijak dan merancang setiap perjalanan, tugas dilakukan agar anda hadir ke mesyuarat tepat pada masanya dan bersedia dengan ‘action items’ dan senarai tugas yang telah anda laksanakan , kerana persepsi negatif akan mudah terbentuk dengan andaian anda tidak bijak menguruskan masa dan diri anda sendiri.