Pilihan Baju Kurung Mengikut Bentuk Badan

RandyFenoliTLC

‘Walau apa jua cabaran bentuk badan anda hari ini, percayalah – pasti akan ada pakaian yang mampu membuatkan anda kelihatan hebat!’

Kata-kata yang dilontarkan oleh Randy Fenoli, selaku Pengarah Fesyen di Kleinfeld Bridal yang terletak di Manhattan Amerika Syarikat ini , membuatkan saya terus mencapai telefon pintar untuk merakam dan mencatat nota dari nasihat diberikan beliau.

Sejujurnya ini bukanlah kali pertama saya menonton siri realiti tv ‘Say Yes To The Dress – Randy Knows Best’ , melalui saluran TLC di Astro 707 ini. Tetapi , sebagai individu yang sentiasa dahagakan ilmu , saya sangat suka mengikuti, menonton dan mempelajari bagaimana mereka yang pakar dan berjaya di dalam industri fesyen ini , memberikan nasihat dan khidmat runding kepada pelanggan dan ternyata, saya mampu tersenyum dan menarik nafas lega – dengan apa yang saya usahakan dan pelajari sehingga ke luar negara selama ini , tidaklah sia-sia.

Artikel berkenaan pilihan pakaian pengantin ? Oh tidak. Mungkin saya boleh pertimbangkan isu seperti ini untuk artikel-artikel yang akan datang. Memilih untuk meneruskan edisi khas Hari Raya sepanjang beberapa minggu ini sehingga minggu terakhir Ramadhan nanti, saya masih ingin memfokuskan kepada beberapa isu yang boleh membantu pembaca semua menjadi pengguna yang bijak , dengan menyenaraikan strategi merungkai rahsia WOW faktor anda dan teknik-teknik pengurusan imej yang ringkas walaupun saya akui bagi anda yang pertama kali membaca penulisan saya, mungkin merasakan terlalu banyak langkah-langkah yang perlu diikuti.

Khas untuk anda, bagi yang tidak jemu mengikuti artikel saya setiap Rabu di ruangan Bicara Imej dan Fesyen , minggu ini saya masih ingin menyambung strategi membeli belah sempena menyambut bulan yang mulia ini, awal Julai hadapan.

Menariknya , dalam beberapa minggu ini , saya kerap menerima soalan-soalan daripada beberapa followers media sosial dan peserta program juga klien saya yang lepas , yang ingin mendapatkan kepastian akan jenis baju yang sesuai dengan bentuk badan mereka , termasuk jenis kasut dan aksesori yang bakal menyerikan pagi Syawal nanti.

Sebenarnya , berbalik kepada rancangan realiti TV ‘Say Yes To The Dress – Randy Knows Best’ itu tadi, apa yang paling penting , ketika memilih sesuatu pakaian (selain mengenalpasti undertone anda) adalah bentuk badan seseorang individu itu sendiri. Seperti kata hosnya Randy, setiap wanita adalah istimewa – yang saya percaya, punyai kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Ada yang hadir dengan cabaran memiliki pinggul yang lebih menonjol dan lebar dari saiz bahunya, ada pula yang petite. Bagi yang memiliki bahagian dada yang besar , perut ‘muffin tops’ – lain pula kerenahnya. Ya , ada juga cabaran dengan pelanggan yang memiliki kaki yang panjang (berbanding dari bahagian atas pinggang) dan memilih untuk menonjolkan asetnya. Di sebalik kebolehan untuk mengetahui bentuk badan pelanggan yang hadir di kedai pengantinnya , Randy juga harus mahir untuk mengenalpasti personaliti gaya si pelanggan itu tadi. Ternyata semua itu boleh dicapai melalui pilihan jenis fabrik dan rekaan yang dipilih sehingga mereka (pelanggan itu tadi) mengatakan ‘Yes’ kepada pakaian pengantin tersebut.

Apakah harga dan jenama turut memainkan peranan di sini?

Bagi saya, apabila anda sudah mahir dengan jenis rekaan , fabrik yang terbaik untuk bentuk badan anda, harga dan jenama tidak lagi menjadi keutamaan di sini. Pastikan juga anda mengambil tahu jenis undertone terbaik anda sebagai salah satu elemen utama ketika membeli belah. Tidak saya nafikan adakalanya , barangan yang berkualiti datangnya dengan harga yang agak tinggi dari biasa. Apa lagi jika ia mempunyai jenama yang kukuh dan terkenal di pasaran. Tetapi percayalah, selagi kita mampu dan punyai masa untuk membuat perbandingan di antara pengeluar dan pengusaha yang ada, saya pasti anda akan temui sesuatu yang hebat dengan harga yang lebih rendah! Ya, sudah tentu saya berbicara atas pengalaman saya sendiri , sebagai pengguna , pemerhati fesyen , Personal Shopper dan juga atas kapasiti seorang Perunding Imej.

Baiklah, sambil-sambil kita melayan artikel ini, apa kata kita pastikan dahulu jenis bentuk badan anda ?

  1. Bentuk ‘Hourglass’ – ini merupakan bentuk paling ideal kerana mengagihkan berat sama rata antara bahagian atas dengan bawah tubuh badan seseorang. Saiz bahu dan pinggul adalah sama dengan pinggang yang lebih kecil dan ramping, mempunyai perbezaan ukuran sehingga 10inci!
  2. Bentuk ‘Ruler’ – Ibarat namanya, mereka yang berbentuk ruler tidak mempunyai bentuk pinggang ramping yang ketara seperti si ‘hourglass’. Kebanyakkan waktu ukuran bahu dan pinggul adalah sama.
  3. Bentuk ‘Pear’ – paling mudah untuk dikesan , badan yang berbentuk ‘pear’ memiliki visual pinggul yang lebih lebar dari saiz bahunya.
  4. Bentuk ‘Apple’ – Saiz pinggang yang lebih lebar dari dada dan pinggul. Menurut kajian yang dijalankan , majoriti mengatakan mereka mudah ‘naik badan’ di bahagian perut berbanding pinggul. Inilah yang membezakan si apple dan si pear apabila mencari pakaian yang sesuai.
  5. Bentuk ‘Inverted Triangle’ atau Segitiga Terbalik – Saiz bahu yang lebih lebar dari saiz pinggulnya. Mereka yang gemar bersukan seperti renang (dari sejak kecil) boleh membentuk siluet badan sebegini apabila dewasa.

Screen Shot 2016-01-27 at 3.44.05 PM

Okay, sempena artikel Edisi Raya kali ini saya akan mengfokuskan kepada pakaian tradisional kita , iaitu jenis-jenis baju kurung. Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari , dengan pelbagai hiasan seperti manik, labuci , kerawang dan material baju yang bukan lagi menggunakan kain cotton (kapas) tetapi yang penting , ia masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

  1. Baju kurung Teluk Belanga atau Cekak Musang –Baju kurung merupakan salah satu pakaian tradisional popular, dikatakan sangat ‘versatil’, ‘evergreen’ dan sering menjadi pilihan wanita hari ini kerana selain Hari Raya, ia juga boleh digayakan pada majlis-majlis rasmi dan keramaian seperti perkahwinan. Sebenarnya walaupun baju kurung ini dianggap baju yang paling senang untuk digayakan tidak kira bentuk badan, yang paling penting adalah fabrik atau jenis materialnya, selain corak dan hiasan yang ada pada baju tersebut. Di antara strategi utama ketika mengambil kira corak , hiasan dan jenis fabrik ini adalah, dengan memastikan di manakah kekuatan (aset) dan kekurangan bentuk badan anda. Seperti contoh, jika badan anda berbentuk pear, maka kekurangan anda adalah di pinggul , dan aset anda pula di bahagian atas badan . Manakala si apple pula , asetnya pula akan bertumpu di bahagian pinggul ke bawah, dada dan perut merupakan kekurangan yang perlu ditutup . Kurangkan pemilihan dan penggunaan corak , hiasan dan jenis material yang boleh membuatkan bahagian badan yang ingin ‘ditutup’ itu tadi nampak menyerlah. Sebaliknya , biarkan ianya dengan warna-warna polos, gelap, dan sekiranya bercorak pastikan ianya sesuai dengan saiz badan anda (kecil, sederhana, besar).

baju kurung.jpg

Kurung bercorak penuh sangat ideal buat mereka yang berbentuk hourglass mahupun ruler.

Bagi yang berbentuk pear pula (gambar no.2) – pemilihan warna gelap di bahagian atas badan dan padanan corak di bahagian bawah merupakan yang paling ideal cuma hati-hati dengan rekaan di pergelangan tangan yang kelihatan separas dengan pinggul boleh membuatkan mata yang melihat akan terus memandang ke arah itu. 

Pilihan fabrik yang bersinar dan memantulkan cahaya seperti kain satin mahupun silk (gambar no.3) pula membuatkan badan si pemakainya akan kelihatan besar dari biasa… Selain itu, labuh kain sehingga melebihi paras lutut sehingga betis bukanlah strategi yang paling berkesan jika si pemakainya ingin kelihatan tinggi. 

2. Baju kurung Kedah – Dipercayai berasal dari selatan Thai , baju yang menyerupai blaus pendek , longgar dan singkat ke paras punggung, dan digayakan dengan kain seakan kain sarung. Disebabkan rekaan bajunya yang sebegini , maka saya sarankan kepada mereka yang berbentuk pear agar tidak memilih rekaan kurung Kedah kerana ia menonjolkan lagi bahagian pinggul anda bukan menyembunyikan.

kurung kedah .jpg

Bagi yang petite , kaedah skim warna monokromatik boleh membantu memberi peranan membuatkan si pemakainya kelihatan lebih tinggi (gambar no.1) 

Manakala bagi yang berbentuk pear pula, rekaan kurung kedah dengan potongan di pinggul bukanlah pilihan baju yang terbaik, terutamanya jika terdapat perbezaan pilihan warna ketara antara bahagian atas badan dan bawah. Gambar no.2 di atas masih boleh diterima , hanya kerana pilihan warna harmoni tetapi masih tidak dapat menepati objektif pemakaian – untuk kelihatan lebih kurus atau menutupi kawasan pinggul itu tadi. 

Kurung kedah kontemporari dan sentuhan moden , dengan rekaan corak di atas (gambar no.3) amat sesuai buat si ruler atau hourglass yang ingin menampilkan bentuk badan yang ramping .

3. Baju kurung Pahang – Rekaan sebegini sangat cantik dipakai untuk wanita hourglass juga berbentuk ruler kerana ia menonjolkan lagi bahagian aset (pinggang) yang ramping. Tidak salah wanita pear ingin memilih kurung Pahang ini tetapi biarlah bahagian atas bajunya diserikan dengan sedikit hiasan atau aksesori yang lebih menonjol agar mata yang melihat tidak tertumpu kepada bahagian pinggul yang besar itu tadi. Mereka yang mempunyai bahu yang lebar (inverted triangle) juga akan kelihatan lebih cantik dengan rekaan Kurung Pahang ini, tetapi pastikan juga agar bahagian bahunya tidak dilengkapi dengan sebarang padding.

kurung pahang.jpg

4. Baju kurung Peplum – Satu sahaja pesan saya buat anda – jangan terpedaya dengan rekaan seperti kurung peplum ini , yang anda anggap dan yakin bahawa jahitan pleatednya boleh menyembunyikan perut anda yang besar. Kurung peplum ini juga sangat sesuai buat si hourglass dan ruler kerana rekaannya lebih tertumpu kepada bahagian pinggang dan jahitan pleated itu sendiri bertujuan untuk menampakkan visual badan yang lebih berisi dan seimbang.

 

kurung peplum.jpg

Pilihan jenis kurung peplum (gambar no.3) di mana labuh bajunya boleh mencecah sehingga ke paras pinggul (bahagian belakang) amat tidak sesuai untuk mereka yang berbentuk apple ataupun pear. Jahitan pleated di peplum itu sendiri akan membuatkan si apple kelihatan lebih besar di bahagian perut, manakala pleated di bahagian belakang pula membuatkan mata akan memandang ke paras pinggul di mana jahitan (seam) itu berakhir. Ia bakal menyerlahkan lagi kekurangan badan anda bukan menutupinya.