Bijak Bershopping Elak Pembaziran – Kenali Jenis Fesyen Di Pasaran!

trends.jpgDi dalam dunia fesyen, gaya dan rekaan akan sentiasa berubah-ubah. Apa yang menjadi trending musim ini , mungkin akan menjadi ‘out-dated’ pada tahun seterusnya. Malah, ada juga gaya yang tidak mampu bertahan walaupun hanya baharu sebulan ia dipasarkan. Jadi, tidak hairanlah jika seseorang itu sanggup membelanjakan gaji bulanannya dan berhutang secara kredit , semata-mata untuk tampil kekal bergaya dengan mengikuti aliran fesyen semasa tanpa arah tujuan dan objektif pembelian.

Secara peribadi , saya sangat percaya, ia juga mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan fenomena global yang dipanggil ‘selfie’ – atau ‘self-portrait of the digital age’ yang memaksa generasi muda hari ini untuk ber-‘ootd’ melalui halaman sosial media popular seperti Instagram dan Facebook untuk menunjukkan gaya dan fesyen terbaru milik mereka.

Pada masa yang sama, ia menjadi satu obses yang memakan diri sendiri, apatah lagi jika tidak dibendung dan diberi kesedaran meluas, itulah yang menyebabkan kita mendengar ramai graduan di bawah 30 tahun hari ini diisytihar muflis – sanggup membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit semata-mata untuk hidup mewah dan di luar kemampuan mereka. “Kebanyakannya cenderung untuk membeli gajet terbaharu, pakaian mengikut trend , selain tujuan membeli kereta dan bayaran pinjaman perumahan”, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) , Azaddin Ngah Tasir di dalam sebuah temubual bersama media baru-baru ini.

fdc100fc9b524b3f2e874f097186fd07.jpg

Walau bagaimanapun, berbalik kepada keterujaan untuk memiliki gaya dan fesyen terbaharu di pasaran, masih boleh dikawal, jika masyarakat atau penggemar-penggemar fesyen ini mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang perbezaan antara fesyen fad, trend dan juga klasik. Malah ia boleh memberikan anda panduan secara bijak daripada terus membiarkan diri terpesona dengan fesyen semasa dan tergolong di dalam kategori mangsa fesyen.

1)     Fesyen Fad

Cara yang paling mudah untuk mengkategorikan fesyen fad ini ialah – fesyen yang tidak kekal lama. Secara lazimnya, fesyen fad ini mampu bertahan untuk semusim atau 3 bulan sahaja, tetapi ia juga mampu berakhir di dalam tempoh sesingkat sebulan! Fad ini terhasil daripada pilihan fesyen terkini. Sebagaimana cepatnya ia dikeluarkan , begitu cepat juga ia akan dilupakan atau lenyap dari pasaran. Bagi memudahkan anda mengenalpasti fesyen fad ini – suatu fesyen yang tidak pernah terlihat di pasaran, in-trend katanya , satu kegilaan ramai ! Walaupun mengenakan fesyen fad ini adakalanya menyeronokkan (kerana kelebihan pada trending semasa, rekaan terkini , jenis fabrik , warna yang menonjol dan terang), kebanyakkan masa ia merupakan satu pelaburan yang tidak berbaloi , baik dari segi kewangan mahupun masa.

2.png

2)     Trend Fesyen

Trend fesyen pula mempunyai jangka hayat yang lebih lama dari koleksi fesyen fad. Malah, ia masih boleh bertahan dari 2 hingga 4 tahun sehingga mencapai satu dekad. Perbezaan utama di antara fesyen fad dan trend fesyen ini adalah , trend mempunyai potensi pengaruh jangka-masa panjang di dalam pasaran . Di samping itu, trend sering melibatkan koleksi fesyen klasik yang telah diubah. Sebagai contoh, ada warna tertentu telah diisytiharkan sebagai sebuah ‘trend’ . Sekitar tahun 2014, warna-warna oren dan biru dikatakan telah mendapat banyak perhatian penggemar fesyen. Walau bagaimanapun, oren dan biru ini adalah warna-warna klasik; dalam erti kata lain, fesyen klasik yang telah diisytiharkan sebagai satu ‘trend’ pula.

Soalan seperti ‘Bagaimana pula hendak mengenalpasti fesyen trend ?’ , pasti bermain di fikiran anda ketika waktu ini, bukan?

Ya, fesyen trend ini adakalanya agak sukar untuk dikesan, tetapi apa yang saya boleh sarankan di sini , satu peraturan yang anda boleh pertimbangkan ketika ingin menilai bahawa sesuatu fesyen itu fesyen trend atau klasik adalah dengan bertanyakan kepada diri sendiri “Adakah saya pasti, saya masih akan sukakan fesyen ini dalam tempoh lima tahun akan datang ?” Jika jawapannya lebih kepada ya, dan ianya mungkin satu rekaan yang telahpun anda lihat berada di pasaran beberapa tahun yang lepas, tetapi diubah sedikit – kemungkinan fesyen tersebut merupakan sebuah rekaan fesyen klasik , atau pembaharuan klasik , kedua-duanya pun mampu membuatkan si pemakainya kelihatan bergaya dan hebat. Salah satu contoh fesyen trend yang boleh saya kaitkan di sini adalah fesyen turban yang sehingga kini masih popular sejak ia diperkenalkan dan diperagakan oleh penyanyi tahahair Yuna , selain YouTube vlogger terkenal dari Britain seperti Dina Tokio.

1.png

3)    Fesyen Klasik

Koleksi fesyen klasik agak sukar untuk dilupakan apatah lagi untuk kita terlepas pandang darinya. Tidak lapuk ditelan zaman , ia lebih mudah dikenalpasti. Dari segi aksesori perhiasan seperti berlian, batu permata, koleksi mutiara, ia sering menjadi peninggalan harta pusaka, turun temurun keluarga kerana potongan klasiknya juga kerana ia mempunyai nilai yang sangat tinggi, selain mampu bertahan berdekad lamanya. Atas kelebihan ini, ia juga mampu menyerlahkan penampilan seseorang individu itu , walaupun terpaksa bersaing dengan kebanjiran fesyen semasa.

Satu artikel yang menarik perhatian saya baru-baru ini, dan dikeluarkan oleh laman web marieclaire.co.uk , di mana satu kaji selidik telah dijalankan oleh pakar bag tangan vintage Baghunter, dan mereka mendapati bahawa ; di dalam 6 tahun yang lepas sahaja, nilai bag tangan Chanel telah meningkat sebanyak 70%. Ketika pertama kali, bag Chanel 2.55 flap dilancarkan pada bulan Februari 1955, harga runcitnya adalah US$220 (sekitar £154) . Pada 90-an , harganya mencecah US$1,150 (£ 810) dan hari ini harganya pasti membuatkan anda terpaku seketika, apabila ia dijual dengan harga setinggi US$4,900 atau (£ 3,493)!

Saya tidak sesekali menyarankan anda memilih fesyen klasik sebagai koleksi wardrobe anda semata-mata , tetapi bagi mereka yang berkemampuan, ia tentunya merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang yang sangat berbaloi dan sesuai digunakan walaupun berdekad lamanya. Aplikasikan strategi Price Per Wear seperti yang selalu saya sarankan , jika fesyen klasik menjadi pilihan utama anda.

3.png

Setelah mengenalpasti jenis-jenis fesyen yang ada, sudah pasti anda ingin mengetahui bagaimana pula caranya untuk memilih , menggunakan dan menyuaipadankan fesyen semasa ini agar ianya sesuai dengan personaliti anda hari ini , bukan?

Jika tidak mengikuti fesyen semasa, anda dikatakan ketinggalan zaman. Tetapi jika anda gemar kepada pakaian trendy dan memilih untuk menggayakan setiap fesyen yang dikeluarkan oleh majalah dan selebriti popular hari ini pula, berkemungkinan anda akan dilihat sebagai seseorang yang pelik atau terlalu mencuba.

Itulah sebabnya adalah penting untuk mempunyai pengetahuan asas dalam aspek penggayaan dan bagaimana menguruskan imej peribadi anda.

Trend fesyen terkini mampu meningkatkan keterujaan untuk memilikinya setiap kali ia dikeluarkan di pasaran , tetapi berubah dengan pantas pula sehingga menyebabkan kewangan kita tidak mampu untuk mengikutinya.

Jadi , bagaimana untuk memastikan anda memilih jenis fesyen ini dengan tepat ? Bagaimana pula untuk menyesuaikan diri dengan lambakan trend fesyen semasa ?

Jangan lupa!
Pastikan anda ‘follow’ blog kami dengan menekan butang ‘YES, COUNT ME IN!’ di laman utama, bagi mendapatkan strategi-strategi dan tips yang kami bakal kongsikan di artikel seterusnya!